Ikutkan hati mati

Saya bernasib baik petang tadi, semasa memandu untuk pulang dari rumah rakan saya, saya putarkan radio ikim fm dan penyampai semasa itu telah membincangkan mengenai soal hati. Elok rasanya saya kongsi mengenai hal tersebut dalam blog saya ini.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda,

“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Basyir)

Penekanan yang diberikan dalam perbincangan tersebut ialah bagaimana hati hanyalah boleh merasa (gembira, sedih, takut dsb) dan hati sendiri tidak boleh berfikir. Salah satu nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada manusia ialah akal fikiran untuk memilih mana yang buruk dan baik. Namun manusia selalu memilih langkah atau jalan yang salah kerana hati seringkali memenangi akal fikiran.

Apabila kita membuat satu kesilapan, ianya seolah mencalit satu tompok kecil di dalam hati kita. Perlulah kita bersihkan kembali tompok hitam ini dengan solat dan istighfar untuk menjaga kebersihan hati kita. Namun apabila dalam rutin seharian kita,  perkara-perkara yang boleh membersihkan hati ini ditinggalkan, tompok ini akan semakin besar dan menggelapkan hati. Hati yang gelap mudah memenangi akal fikiran. Ini ditambah lagi dengan nafsu dan bisikan iblis yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dan sekaligus merugikan manusia itu sendiri.

Pepatah barat yang mengatakan “if you don’t know what to do, just follow your heart” adalah songsang sama sekali di mana akal mesti menjadi keutamaan apabila kita berdepan dengan sesuatu pilihan.

Jadi diharap dengan perkongsian saya dalam kiriman blog kali ini, pembaca budiman lebih berhati-hati dan banyak berfikir dengan akal bukan nya dengan hati dalam membuat apa jua pilihan dalam kehidupan seharian kita. Bak kata pepatah melayu:

“Ikut hati mati, ikut rasa binasa”

About herman

I am a guy living in Kuala Lumpur, Malaysia. My passion is photography and I am a fan of Japanese pop culture.
This entry was posted in spiritual and tagged . Bookmark the permalink.

1 Responses to Ikutkan hati mati

  1. kluxorious berkata:

    Thanks for the reminder. Will strive to do better, insyaAllah

Tinggalkan komen